Kerajaan
telah memperkenalkan dasar 1Murid 1Sukan. Hal ini bermakna setiap murid harus
melibatkan diri secara aktif dalam salah satu acara sukan yang paling diminati.
Selepas diumumkan, dasar ini telah menjadi buah mulut masyarakat, khususnya ibu
bapa. Pihak media massa sama ada media cetak mahupun media elektronik saban
hari mengetengahkan perkara tersebut sebagai isu utama. Peribahasa ada mengatakan
“Jikalau tiada angin, masakan pokok bergoyang”. Dasar ini perlu diperkenalkan
kerana negara kita ketinggalan dalam kebanyakan acara sukan bertaraf dunia.
Jika negara kita mahu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara maju
yang lain dalam bidang sukan, kita mestilah melakukan sesuatu. Dalam hal ini, semua
pihak terutamanya ibu bapa perlu membantu pihak kerajaan bagi merealisasikan
hasrat kerajaan ini. Terdapat pelbagai usaha yang perlu dilakukan oleh ibu bapa
bagimenggalakkan anak-anak menceburi bidang sukan.
Satu
daripada usaha yang perlu dilakukan oleh ibu bapa ialah mereka perlu menjadi
model atau jurulatih kepada anak-anak kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya.
Ibu bapa perlu berjinak-jinak dalam bidang sukan. Langkah yang paling awal
ialah ibu bapa hendaklah membawa anak-anak berjoging atau beriadah. Selain
dapat meningkatkan tahap kesihatan, ibu bapa dapat mendedahkan aktiviti sukan
kepada anak-anak ibarat sambil menyelam minum air. Sebagai contohnya, ibu bapa
hendaklah membawa anak-anak berjoging di kawasan padang atau stadium yang
berhampiran. Selepas itu, ibu bapa hendaklah bermain badminton atau bola sepak
dengan anak-anak. Melalui aktiviti ini, bakat anak yang terpendam dapat
digilap. Jika ibu bapa merupakan jaguh sukan sebelum ini, bakat tersebut
kemungkinannya dimiliki oleh anak-anak merekabagai kuah tumpah ke nasi. Jika
usaha ini diteruskan dari masa ke masa, anak-anak tersebut akan menjadi jaguh
sukan pada suatu hari nanti setelah diasuh oleh ibu bapa mereka.
Selain
itu, anak-anak amat memerlukan sokongan daripada ibu bapa sama ada secara
langsung atau tidak langsung. Dalam hal ini, ibu bapa perlu mendorong anak-anak
supaya meminati bidang sukan sejak kecil bak kata pepatah kalau hendak melentur
buluh biarlah daripada rebungnya. Mereka mestilah menjadi pendorong kepada
anak-anak untuk mengambil bahagian dalam pertandingan peringkat sekolah, daerah
atau sebarang pertandingan sukan. Sebagai contohnya, apabila anak-anak tidak
mencapai kemenangan dalam sesuatu pertandingan, ibu bapa perlu memberikan
dorongan dengan mengucapkan kata-kata bahawa sekali tewas tidak bermakna akan
tewas buat selama-lamanya. Ibu bapa perlu mengingatkan anak-anak bahawa di
sebalik kekalahan sebenarnya kita memperoleh sesuatu yang lebih berharga, iaitu
pengalaman yang tidak dapat dibeli di mana-mana. Oleh yang demikian, ibu bapa
perlu memotivasikan anak-anak supaya mereka rajin berusaha kerana usaha tangga
kejayaan.Tegasnya, sokongan daripada ibu bapa sangat besar impaknya kepada
anak-anak untuk mencapai kejayaan yang gemilang.
Di
samping itu, ibu bapa perlulah memberikan penghargaan dan galakan kepada
anak-anak apabila mereka mencapai kejayaan. Semasa anak-anak mencapai kejayaan
pada kali pertama dalam acara sukan yang disertai, ibu bapa mestilah memberikan
penghargaan atau pujian kepada anak-anak. Apabila dipuji dan penghargaan
diberikan kepada mereka, semangat untuk berlatih atau menceburi bidang tersebut
dengan lebih giat akan meningkat. Sebagai contohnya, ibu bapa hendaklah
membelikan anak-anak mereka peralatan sukan yang diminati seperti pakaian,
kasut atau peralatan sukan lain sebagai hadiah. Usaha yang dilakukan oleh ibu
bapa ini bukanlah memberikan peluang kepada anak-anak untuk membuat sesuatu
agar mendapat habuan tetapi membuatkan anak-anak merasai bahawa dirinya
dihargai. Melalui cara ini, mereka akan gembira dan menjadikan aktiviti sukan
tersebut menyeronokkan. Menurut ahli psikologi, minat seseorang dalam sesuatu
perkara akan meningkat jika diberi ganjaran atau penghargaan.
Bukan
itu sahaja, anak-anak juga perlu didedahkan dengan bahan bacaan tentang pelbagai
jenis sukan. Melalui bahan bacaan tersebut, anak-anak akan mengetahui acara
sukan yang diceburi dengan lebih mendalam. Banyak ilmu yang akan diperoleh
tentang acara sukan dari segi sejarah, tokoh yang berjaya, aspek kejurulatihan,
pemakanan, teknik, strategi, dan sebagainya. Pujangga menyatakan, `Membaca
Jambatan Ilmu’. Sebagai contohnya, murid perlu membaca pelbagai majalah yang
berkaitan dengan acara sukan yang diminati seperti majalah sukan bola sepak,
hoki, dan sebagainya. Usaha ini selari dengan dasar 1 Murid 1 Sukan yang
memerlukan murid bukan sahaja mahir bermain malah memahami sesuatu permainan.
Dalam hal ini, melalui Dasar 1Murid 1Sukan, murid-murid bukan sahaja memiliki
kemahiran dalam sesuatu permainan, malah mereka mampu menjadi jurulatih atau
pengadil walaupun tidak mempunyai bakat untuk bermain pada suatu hari nanti.
Sebagai
kesimpulannya, ibu bapa merupakan sumber inspirasi kepada anak-anak untuk
menceburi bidang sukan. Jika ibu bapa menyuruh anak-anak melibatkan diri dalam
bidang sukan, sedangkan mereka tidak melakukannya bersama-sama, usaha ini
diibaratkanketam mengajar anaknya berjalan dengan betul. Tindakan ibu bapa akan
menjadi ikutan anak-anak ibarat bapa borek anak rintik jika mereka turut sama
aktif dalam bidang sukan. Untuk merealisasikan Dasar 1Murid 1Sukan, ibu bapa
merupakan insanyang menjadi pendorong selain guru di sekolah. Ibu bapa tidak
seharusnya mengharapkan guru-guru sahaja untuk membimbing anak-anak mereka bagi
merealisasikan dasar ini. Oleh itu, kerjasama daripada semua pihak amat penting
bagi melahirkan individu yang seimbang dalam bidang kurikulum, kokurikulum dan
sahsiah. Jika ibu bapa berjaya memainkan peranannya, sukan di negara kita akan
terus gemilang selaras dengan slogan `Majulah Sukan untuk Negara’.
0 Comments