Soalan
2 :
Kesedaran
sivik merupakan aspek penting dalam kehidupan. Namun begitu, sikap ini semakin
kurang diamalkan dalam kalangan masyarakat. Huraikan punca-punca wujudnya
keadaan ini dan cara-cara untuk menerapkan kesedaran tersebut.
Anasir vandalisme, membuang
sampah merata-rata, merokok di tempat larangan, dan mengotori tempat-tempat
awam merupakan fenomena biasa yang mudah dilihat dalam kalangan masyarakat
kita. Sekali imbas, kita seakan-akan terfikir bahawa masyarakat kita masih
belum bertamadun sedangkan kita sudah memasuki era milenium. Walaupun tahap
celik akal masyarakat juga dikatakan semakin tinggi, namun tingkah laku yang
mempamerkan tahap kerendahan disiplin masih berleluasa juga. Malu dengan imej kita terhadap masyarakat
luar, semua pihak hendaklah lebih prihatin untuk mengenal pasti punca gejala
ini semakin luntur dan seterusnya mengambil beberapa langkah praktikal untuk
memantapkan semula tahap disiplin.
Faktor prima yang membawa kepada
menularnya gejala negatif ini adalah disebabkan oleh lunturnya semangat
patriotik dalam kalangan masyarakat. Hal (fenomena) ini terjadi disebabkan
generasi muda tidak pernah merasai susah payah dalam membangunkan sebuah
negara. Empat puluh lima peratus kalangan rakyat Malaysia dilahirkan setelah
negara mencapai kemerdekaan. Ramai sekali dalam kalangan rakyat Malaysia yang
mengambil mudah tentang tanggungjawab terhadap negara, malah ada yang mempersendakan
kemerdekaan negara. Oleh sebab itu, golongan ini menjadi kelompok buta sejarah
lalu berkuburlah semangat patriotik dalam jiwa mereka. Apabila roh patriotisme
mula luntur daripada jiwa dan sanubari, runtuhlah tembok kekuatan sivik.
Selain itu kebankrapan
nilai-nilai murni dalam masyarakat turut menjadi hambatan kepada merosotnya
kesedaran sivik. Faktor tersebut disebabkan manusia hari ini semakin hilang
semangat setia kawan, kurang menghormati hak orang lain dan tidak menghargai
hak dan kepentingan awam. Dalam kalangan jiran, semangat kejiranan telah luput
dan individu lebih selesa hidup secara bersendirian, ibarat enau dalam belukar
melepaskan pucuk masing-masing. Apabila
rasa hormat terhadap orang lain semakin hilang, justeru pupuslah budaya
tegur-menegur yang secara tradisinya menjadi tautan dalam kalangan masyarakat.
Dengan sebenar-benarnya, anutan terhadap nilai kebendaan dan individualistik
telah membentuk suatu pola baru masyarakat yang hidup cara ‘nafsi-nafsi’.
Kesudahannya, terbentuklah suatu pola masyarakat yang bersikap anarkis,
menggunting dalam lipatan dan menjadi duri dalam daging terhadap keharmonian
masyarakat.
Pemerkasaan semula doktrin sivik
hendaklah dimulakan melalui sistem pendidikan. Langkah ini difikirkan sangat
pragmatik kerana sistem pendidikan sahaja yang mampu membentuk acuan dan hala
tuju rakyat. Sehubungan dengan perkara yang berkaitan, anak-anak yang masih di
bangku sekolah mudah dibentuk pemikiran dan sikap mereka. Seandainya betul cara
yang dididik, nescaya betul jugalah hala tuju dan landskap pemikiran rakyat.
Suatu kaedah yang lebih praktikal, aspek pengetahuan sivik hendaklah
digabungjalinkan dalam subjek akademik. Strategi tersebut lebih relevan
daripada murid sekadar diajar menghafal fakta dan dalil semata-mata. Sehubungan
dengan itu, isi kandungan kurikulum seperti dalam subjek bahasa dan kemanusiaan
hendaklah hendaklah wujud nilai penyerapan yang tinggi terhadap pemerkasaan
sivik. Apabila usaha ini dapat memberikan kesan mendalam di dalam jiwa dan
sanubari murid barulah lahir insan syumul yang kaya dengan ilmu dan cakna
dengan akal budi.
Amalan sivik juga harus
dikuatkuasakan dalam kalangan masyarakat umum. Kebertanggungjawaban ini amatlah
perlu kerana masyarakat umum juga mempunyai tanggungjawab terhadap kepentingan
awam dan negara. Tanpa penegasan dan penguatkuasaan, individu lebih percaya
bahawa mengamalkan nilai-nilai murni bukanlah suatu perkara yang wajib,
sebaliknya sebagai imej peribadi sahaja. Apabila lunturnya perasaan
bertanggungjawab, individu berasa bebas untuk melakukan apaapa sahaja termasuk
menjejaskan kepentingan awam. Oleh hal yang demikian, beberapa aspek dalam
amalan sivik seperti bertanggunjawab, ketelusan dan menghormati hak asasi harus
dijadikan terma dalam undang-undang. Sudah tiba masanya rakyat Malaysia
digemblengkan komitmen mereka dalam memaksimumkan amalan sivik bak kata pepatah
di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.
Maruah sesuatu bangsa amat
berkait rapat dengan tingkah laku dan amalan budaya mereka. Orang lain dengan
mudah melabelkan diri kita dengan pelbagai andaian apabila melihat cara kita
bertindak. Oleh itu, jagalah maruah dan budi pekerti agar kita diiktiraf
sebagai bangsa yang bertamadun. Oleh sebab itu segala-gala yang terpancar
daripada tingkah laku mahupun tutur kata merupakan imej keperibadian yang
terbina daripada pasak kekuatan sivik.
0 Comments