Contoh Karangan Kepentingan Perpaduan Kaum di Malaysia
Malaysia telah melalui pelbagai pengalaman pahit sebelum berdiri teguh dan kukuh sebagai negara membangun. Pasti pengalaman dijajah oleh negara asing tidak akan diulangi lagi sepertimana yang kita ketahui penjajahan Malaysia dimulai dengan Portugis, Inggeris, Belanda, Jepun, kemudian Inggeris lagi selepas itu. Teriakan dan sorakan keramat ‘Merdeka’ pada 31 Ogos 1957 adalah tidak semudah yang disangka untuk dilalui dan memaknakan kemerdekaan tersebut. Bagi memastikan negara tidak dijajajah dan digugat oleh negara asing, perpaduan kaum sangat penting demi menjamin ketenteraman negara ini. Kita tiada seorang pahlawan seperti Rentap yang menentang kubu Raja Brooke di Nanga Skrang pada tahun 1983, ataupun Dol Said yang melakukan penentangan terhadap kemaraan penjajah pada tahun 1826 di Naning, atau gerakan penentangan Inggeris di Sabah yang gagah diketuai oleh Mat Salleh pada tahun 1884 hingga 1900. Yang kita ada adalah Dato Seri Najib Tun iaitu ketua barisan pemimpin negara yang merangkap sebagai Perdana Menteri Malaysia. Tanpa kegagahan seperti tokoh zaman dulu-kala, yang perlu hanyalah semangat Malaysia yang bersatu padu tanpa mengira kaum dan agama seperti kata pepatah bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Oleh itu, peganglah pepatah ini sebagai prinsip di dalam hidup demi menjamin keamanan dan kesejahteraan negara.
Perasaan cinta, sayangkan negara dan perasaan ingin membebaskan negara
daripada sebarang penjajahan adalah satu semangat nasionalisme. Oleh itu,
semangat nasionalisme yang mendalam tanpa mengira kaum, agama dan warna kulit
telah dapat dipupuk menerusi perpaduan kaum. Berdasarkan senario hari ini,
sifat tanggungjawab haruslah wujud dalam kalangan rakyat Malaysia dengan
menerima dengan minda yang terbuka segala adat resam dan budaya yang diamalkan
oleh agama masing-masing agar penindasan yang berlaku di Afrika, Indonesia dan
Thailand dapat dibendung. Budaya melentur buluh biarlah dari rebungnya
hendaklah dipraktikkan dalam diri anak-anak sejak kecil lagi dalam membentuk
dan menanam semangat perpaduan. Sebagai contoh di sekolah, lagu kebangsaan
dinyanyikan dan Rukun Negara dihayati sebagai ikrar untuk mendisiplinkan diri.
Maka dengan demikian, mereka akan menyedari akan kepentingan bersatu padu
saling hormat-menghormati. Oleh itu, kita hendaklah bersama-sama berganding
bahu dan berganding tenaga dalam membajai dan menyemai semangat perpaduan dalam
kalangan masyarakat terutamanya anak-anak yang masih bersekolah.
Selain itu, pelancong juga akan tertarik untuk melawat negara kita dengan
semangat perpaduan yang ditonjolkan oleh rakyat Malaysia. Para pelancong akan
lebih tertarik untuk mempelajari budaya dan adat resam rakyat Malaysia
disebabkan keunikan masyarakat kita yang berbilang kaum yang hidup dalam
suasana harmoni. Hal ini demikian kerana, pelancong berasa lebih selesa dan
selamat berada di negara ini walaupun suatu ketika dahulu Malaysia turut
tergugat dengan muncul dan tersebarnya wabak virus influenza H1N1 yang menjadi
topik hangat di seluruh dunia, namun industi pelancongan tetap berkembang maju
saban tahun kerana wujudnya perpaduan yang kukuh. Timbalan Menteri Pelancongan
pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dengan adanya sifat perpaduan dan layanan
baik mesra yang diberikan oleh rakyat negara ini kepada pelancong asing,
peratusan peningkatan industri pelancongan akan terus berlaku meskipun agak
berkurangan dengan wujudnya wabak penularan H1N1. Tidak disangkal lagi bahawa,
rakyat Malaysia dapat bergaul mesra antara satu sama lain yang boleh terdiri
daripada berbilang kaum dan juga agama. Sebagai contoh, di sekolah rendah dan
juga menengah, para pelajar dapat menikmati infrasruktur yang disediakan dan
dapat belajar dalam satu sekolah yang sama. Seperti peribahasa ada mengatakan
muafakat membawa berkat. Jadi, jelas sekali di sini perpaduan kaum bukan sahaja
dapat menyemai dan menanam sifat patriotisme di dalam diri malahan dapat dapat
menarik lebih ramai pengunjung untuk bertandang ke Malaysia.
Negara ini sebenarnya turut tidak terlepas daripada isu pergaduhan,
pertelingkahan dan penindasan yang pernah berlaku kepada rakyat Malaysia yang
juga merupakan golongan majoriti di Malaysia. Pastinya rusuhan kaum yang
berlaku pada 13 Mei 1969 telah tertanam dalam ingatan dan minda masing-masing.
Pada masa itu, semua barisan pemimpin dan rakyat telah berhempas pulas untuk
mengatasi dan menamatkan masalah penindasan tersebut. Lantasan itu, konsep
perpaduan kaum hendaklah diamalkan manakala sikap seperti enau dalam belukar
melepaskan pucuk masing-masing hendaklah dielakkan bagi menjamin perpaduan kaum
di seluruh Malaysia. Bahkan dengan perpaduan kaum juga dapat mengekalkan
keharmonian negara. Hal ini demikian kerana, masyarakat yang mempunyai semangat
perpaduan yang tinggi dapat hidup dalam keadaan selesa dan hormat menghormati
antara berlainan kaum sejajar dengan penggubalan dasar luar Malaysia selepas
Perang Dunia Kedua, hal ini sekaligus membawa kepada keamanan setempat.
Peribahasa Melayu ada mengatakan bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
Pepatah ini dapat direalisasikan melalui kerjasama yang tidak berbelah bahagi
dan erat antara semua kaum dan agama. Sebagai contoh, kaum India menghormati
dan bersifat terbuka dengan budaya yang diamalkan oleh kaum Melayu dan Cina.
Memang tidak dapat dinafikan, masih ada lagi rusuhan-rusuhan kecil yang
melibatkan rakyat di negara ini meskipun Malaysia sudah mengamal dan
mempraktikkan konsep perpaduan. Contoh yang boleh dilihat adalah seperti
demonstrasi jalanan yang mempunyai hubung kait dengan Akta ISA. Maka jelaslah,
kunci kepada kesejahteraan dan keharmonian yang dinikmati oleh rakyat bukan
hanya bergantung kepada konsep perpaduan sahaja tetapi turut melibatkan
pembukaan minda dan fikiran yang terbentang luas mengenai penerimaan adat
resam, budaya dan nilai-nilai positif haruslah diisi di dalam diri
masing-masing agar tidak berlaku sebarang permusuhan.
Pada zaman yang kian maju ini, pendidikan menjadi tunjang kepada
perpaduan dan nasionalisme negara. Dalam pembinaan dan pembentukan warganegara
yang bersatu padu, sekolah dan pendidikan sebenarnya memainkan peranan dan
watak penting dalam hal ini. Sememangnya di dalam kandungan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan telah dicatatkan bahawa “Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha
atau inisiatif berterusan ke arah untuk memperkembangkan dan menyerlahkan lagi
potensi setiap individu supaya sentiasa bersatu padu dengan mewujudkan
individu yang harmonis dan mendapat keseimbangan dari segi intelek, emosi,
rohani dan juga jasmani dengan percaya dan patuh kepada Tuhan. Usaha yang
dilakukan ini untuk melahirkan rakyat Malaysia yang luas ilmu pengetahuan,
berbudi pekerti , bertanggungjawab dan berkemampuan untuk memberi sumbangan
terhadap kemakmuran dan keharmonian setempat dan juga negara tercinta. Secara
tidak langsung, satu masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan berintegrasi
dapat dilahirkan selari dengan hasrat yang terkandung di dalam Rukun Negara.
Izharlah bahawa perpaduan kaum amat penting dalam melahirkan masyarakat Malaysia
yang sentiasa mementingkan semangat bersatu padu dalam memenuhi hasrat dan
impian Kerajaan menerusi konsep slogan 1Malaysia.
Kurikulum yang dibina untuk para pelajar bukan sahaja menjadi platform
untuk untuk menimba ilmu pengetahuan dan informasi berbentuk ilmiah dan
akademik, bahkan semangat perpaduan juga boleh dipupuk. Kurikulum ini telah
mula dilaksanakan mulai tahun 1983 yang meliputi Kurikulum Bersepadu Sekolah
rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah. Pegangan agama dapat
dikukuhkan, sifat-sifat terpuji seperti bantu-membantu dapat ditanam di dalam
diri individu tingkah laku penuh sopan santun dapat dibentuk apabila pendidikan
mata pelajaran Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Islam, Pendidikan
Al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Moral mula diperkenalkan di
sekolah-sekolah. Mahukah kita melihat rakyat Malaysia bersikap seperti kacang
hantu? Yang bersikap kacang hantu secara tidak langsung akan mencemarkan nama
baik negara sekaligus merosakkan imej Malaysia. Janganlah kita semua memandang
remeh terhadap peranan dan fungsi pendidikan dalam mewujudkan
semangat perpaduan kerana sesungguhnya pendidikan itu peranannya sangat besar
sebagai benteng utama insan daripada dihancurkan oleh musuh-musuh negara yang
berhasrat untuk memecah belahkan unsur perpaduan kaum di negara kita. Sudah
tentu kita tidak mahu perkara ini berlaku kepada kita dan generasi pada masa
akan datang. Fikirkanlah, hanya dengan pendidikan sahaja, keutuhan dan
keteguhan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia dapat dijamin. Intihanya,
dalam pemupukan semangat perpaduan, sistem pendidikan memainkan peranan penting
agar negara terpelihara daripada muslihat dan tipu helah pihak musuh.
Sehubungan dengan itu, imej negara dapat ditingkatkan dengan semangat
perpaduan hasil daripada kerjasama seluruh rakyat Malaysia yang terdiri
daripada berbilang kaum dan agama tanpa timbulnya sebarang masalah. Sebagai
contoh, ketika musim perayaan terutamanya, amalan ziarah-menziarahi dan
bermaaf-maafan adalah antara amalan kebiasaan rakyat Malaysia. Bertitik tolak
daripada ini, sedikit sebanyak sikap perpaduan dapat diwujudkan. Marilah kita
berdaya saing dengan negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun dan
Hong Kong dari segi ekonomi yang kian meningkat naik dengan drastiknya dan
semangat perpaduan yang wujud di negara itu. Mengapa semua rakyat Malaysia
masih bersikap acuh tidak acuh dan memekakkan telinga masing-masing dalam
menyahut seruan kerajaan untuk memajukan negara agar imej dan nama Malaysia gah
di mata dunia? Sudah pastinya terdapat jawapan bagi setiap isu yang diberikan
walaupun mungkin jawapannya berbeza-beza. Konklusinya, peningkatan imej negara
dapat dilakukan jika kerjasama wujud dalam diri seluruh rakyat negara ini
sperti aur dengan tebing dalam menjalankan dan menjayakan inisiatif kerajaan
yang berhempas pulas untuk menyediakan perancangan kerajaan yang efektik dan
efisyen dan seterusnya meletakkan imej Malaysia seantero dengan negara maju dan
membangun yang lain.
Jika kita semua berganding bahu menggunakan konsep pepatah ibarat ke
bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, dengan izin Tuhan perkara ini dapat
dijayakan dengan cemerlang dan direalisasikan lebih awal daripada sangkaan
kita. Dalam mewujudkan perpaduan kaum rakyat Maaysia, konsep 1Malaysia yang
diperkenalkan oleh Perdana Menteri kita sememangnya sangat berbaloi. Sudah
terang lagikan bersuluh, terdapat banyak manfaat dan kepentingan kepada
masyarakat dan negara dalam usaha pemupukan perpaduan kaum. Jangkaan pada masa
hadapan sudah tentu tidak dapat kita ramal kerana semua itu terletak pada
kekuasaan Tuhan Yang Esa. Oleh itu, dalam berhadapan dengan masa hadapan yang
menjanjikan pelbagai cabaran di luar jangkauan kita, kita mestilah menyediakan
payung sebelum hujan supaya kita tidak ditimpa malang yang tidak diduga seperti
kata pepatah sudah terhantuk baru nak terngadah. Elemen bertolak ansur
sepatutnya dipraktikkan supaya impian untuk mempunyai masa depan yang gemilang
dan terbilang dapat dibina. Intihanya, semangat perpaduan di negara kita hendaklah
dipertahankan oleh semua rakyat demi negara yang tercinta dan dapat menyambut
objektif negara impian.
0 Comments