Soalan
Semangat kejiranan
semakin hari semakin luntur dalam kalangan masyarakat. Jelaskan peranan ibu
bapa dalam usaha memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Dalam kehidupan sehari-hari,
keluar dari rumah, sama ada memandang ke kanan, ke kiri atau memandang ke
hadapan atau ke belakang, rumah yang kita lihat ialah rumah jiran. Bagaimanapun
kita mengasihi adik-beradik dan saudara-mara, namun jarak yang jauh menyebabkan
pergantungan kita pada jiran tetap ada. Jiran ialah tetangga atau mereka yang
tinggal di sekitar kita. Semangat kejiranan pula membawa pengertian jiran
tetangga yang hidup berbaik-baik, bertolak ansur dan bekerjasama antara satu
sama lain. Dalam kehidupan kita, kita dilarang menyakiti hati jiran, sebaliknya
kita perlu bertolak ansur dan hidup berlandaskan kasih sayang sesama individu
tanpa mengira keturunan, usia, agama atau pangkat. Pepatah Melayu ada
mengatakan bahawa muafakat membawa berkat. Jadi, kita perlulah mengutamakan
jiran kita dalam kehidupan dan mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita
sentiasa bersatu padu dalam kehidupan seharian. Walau bagaimanapun, pada
era globalisasi yang dipenuhi pancaroba moden, semangat kejiranan dalam
kalangan anggota masyarakat semakin luntur Oleh itu, semua lapisan masyarakat
terutamanya ibu bapa wajar mengambil langkah untuk memupuk semangat kejiranan
dalam kalangan masyarakat. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang wajar
diambil oleh ibu bapa untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat?
Menyedari hakikat betapa
pentingnya semangat kejiranan diamalkan oleh masyarakat majmuk di negara ini,
maka usaha perlu dilakukan oleh ibu bapa agar nilai yang berharga ini tidak
hilang daripada amalan hidup masyarakat kini. Ibu bapa haruslah menyertai
aktiviti gotong-royong yang dianjurkan oleh komuniti atau masyarakat setempat.
Dalam hal ini, ibu bapa boleh membawa anak-anak menyertai aktiviti tersebut
bersama-sama. Melalui aktiviti gotong-royong, semua penduduk setempat dapat
berkumpul untuk berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila
berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berbual-bual dan mengenali antara
satu sama lain dan sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi
jiran mereka dengan lebih baik dan dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui
pepatah Melayu yang mengatakan bahawa tak kenal makan tak cinta. Sebagai
contoh, aktiviti yang boleh dijalankan secara gotong-royong adalah seperti
membersihkan kawasan, mengadakan rumah terbuka, kenduri dan sebagainya.
Aktiviti-aktiviti yang dijalankan secara gotong-royong memerlukan masyarakat
bekerjasama bagai aur dengan tebing agar aktiviti tersebut dapat dijalankan
dengan lancar dan baik. Melalui cara ini, setiap ahli keluarga dapat
menjalinkan hubungan mesra sesama jiran tambahan pula mereka juga sedar akan
peranan masing-masing dalam sesuatu komuniti. Apabila dewasa kelak,
anak-anak akan melakukan perkara yang sama untuk mengeratkan semangat
kejiranan. Konklusinya, ibu bapa haruslah mengadakan aktiviti gotong-royong
agar dapat memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat.
Selain itu, ibu bapa perlulah
menjadi suri teladan atau ‘role model’ yang baik kepada anak-anak sekiranya
mahu anak-anak mengamalkan semangat kejiranan dalam diri sendiri. Ibu bapa
perlulah mengamalkan cara hidup seperti aur dengan tebing atau ke bukit sama
didaki, ke lurah sama dituruni dan hati gajah sama dilapah, hati kuman sama
dicecah untuk mencapai keberkatan dalam hidup. Sebagai anggota dalam sesebuah
masyarakat, ibu bapa mesti mempunyai semangat kejiranan dan prihatin terhadap
jiran mereka. Apabila mengambil berat akan hal-hal jiran, bukanlah bermaksud
kita hendak menjaga tepi kain mereka atau mengambil tahu akan hal rumah tangga
mereka, tetapi kita mengambil tahu masalah-masalah yang dihadapi oleh jiran dan
cuba membantu mereka supaya dapat meringankan beban yang dihadapi oleh jiran.
Hal ini dikatakan demikian kerana dalam kehidupan berkeluarga, setiap keluarga
pasti akan menghadapi masalah dan masalah itu hanya boleh diatasi atau
dikurangkan dengan bantuan orang lain. Sebagai analoginya, ketika ketua
keluarga kurang sihat, maka ahli-ahli keluarga itu memerlukan bantuan daripada
jiran untuk menghantar ketua keluarga itu ke hospital, memberitahu keluarganya
yang tinggal jauh dari tempat tinggal mereka, mendapatkan bantuan kecemasan
ataupun kewangan dan sebagainya. Sikap berat sama dipikul, ringan sama
dijinjing yang ditunjukkan oleh ibu bapa terhadap jiran, akan menyebabkan
anak-anak juga turut mengambil berat tentang jiran mereka. Tegasnya, ibu bapa
yang berjaya menjadi iktibar yang baik, sudah pasti mampu memupuk semangat
kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Di samping itu, ibu bapa juga
mestilah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka bersempena dengan sesuatu
sambutan perayaan. Amalan mulia ini bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim
dan menjalin ukhuwah, tetapi juga mampu mengukuhkan semangat kejiranan dalam
kalangan masyarakat. Melalui majlis rumah terbuka, ibu bapa boleh membawa anak-anak
bersama-sama. Dalam majlis tersebut, masyarakat dapat berkumpul dan
mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat. Mereka juga berpeluang
untuk bertukar-tukar pendapat tentang sesuatu perkara dan bertanya khabar
sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Dengan itu, masyarakat
akan lebih memahami adat resam, agama dan budaya masing-masing di negara
ini. Sebagai contohnya, majlis-majlis rumah terbuka sempena sambutan Hari
Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Hari Krismas dan Hari Deepavali hendaklah
dijadikan acara tahunan Kehadiran ibu bapa bersama-sama ahli keluarga
dalam majlis rumah terbuka, bukan sahaja dapat memperkenalkan anak-anak
mengenali lebih dekat adat resam sesuatu budaya malah dapat menanamkan semangat
kekitaan dalam diri anak-anak dan mengamalkan semangat kejiranan Tegasnya,
majlis-majlis rumah terbuka mestilah diadakan setiap tahun agar mampu
mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan membentuk masyarakat yang
harmoni
Seterusnya, ibu bapa hendaklah
menyemai budaya ziarah-menziarahi dalam kalangan masyarakat sebagai langkah
untuk mengukuhkan dan meningkatkan semangat kejiranan dalam diri anak-anak.
Dalam hidup bermasyarakat, ibu bapa digalakkan membawa anak-anak-anak
menziarahi jiran tetangga pada masa-masa yang sesuai. Dengan menziarahi jiran,
kita akan mengetahui masalah dan keadaan yang dihadapi oleh jiran kita. Semua
masalah boleh diselesaikan bersama-sama dan hal ini akan menjadikan hidup
mereka lebih aman dan sentosa walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan.
Sebagai contohnya, ibu bapa boleh membawa anak-anak berkunjung ke hospital jika
kita mendapat tahu bahawa jiran kita telah dimasukkan ke hospital kerana
menghidap sesuatu penyakit . Amalan ini dapat membentuk sifat kasih sayang dan
sikap ambil berat serta membuang sejauh-jauh sikap anani dan hidup seperti enau
di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’. Walaupun pepatah Melayu ada
mengatakan bahawa berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya, namun
sebagai jiran, kita mestilah berpegang teguh pada prinsip cubit paha kiri, paha
kanan terasa juga. Jadi, melalui lawatan kita, sekurang-kurangnya kita dapat
meringankan beban yang dialami oleh jiran kita dan secara tidak langsung,
mereka dapat hidup dengan lebih selesa, aman dan tenang. Anak-anak turut
mengambil berat tentang jiran yang ditimpa masalah sama seperti ibu bapa
mereka. Jelasnya, ibu bapa boleh mengamalkan budaya kunjung-mengunjungi dalam
diri anak-anak untuk memupuk semangat kejiranan.
Akhir sekali, ibu bapa bolehlah
menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti
Hari Keluarga. Setiap komuniti sering mengadakan aktiviti seperti hari keluarga
untuk merapatkan hubungan dalam kalangan masyarakat setempat. Aktiviti
kemasyarakatan ini kerap diadakan sama ada di padang, taman rekreasi atau di
tepi pantai. Ibu bapa boleh membawa anak-anak bersama-sama dan setiap ahli
keluarga boleh menyertai permainan yang disediakan. Selain itu, ibu bapa
boleh mendedahkan kepada anak-anak tentang kepentingan hidup bantu-membantu
dalam masyarakat setempat yang mempunyai satu sistem yang teratur.
Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk tempatan
sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam
masyarakat seperti pertubuhan rukun tetangga, Jawatankuasa Keselamatan dan
Kebajikan Kampung (JKKK) dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui pertubuhan
seumpama ini, masyarakat setempat mengawasi keselamatan kawasan tempat tinggal
atau taman secara bergilir-gilir untuk mengelakkan berlakunya kejadian-kejadian
yang tidak diingini daripada berlaku seperti membunuh, merogol, merompak dan
sebagainya. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur
dengan tebing yang mementingkan semangat kejiranan atau saling membantu antara
satu sama lain dalam kehidupan. Jelasnya, ibu bapa berperanan penting untuk
menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial sebagai
langkah untuk memupuk semangat kejiranan.
Berdasarkan perbincangan di atas,
dapat saya simpulkan bahawa semangat kejiranan dalam setiap individu amat
penting untuk melahirkan masyarakat yang penyayang dan membentuk perpaduan
kaum. Walau apa-apa pun keadaan dan di mana-mana pun kita tinggal, kita
perlulah mempunyai jiran yang baik hati, iaitu jiran yang menjadi tempat untuk
meminta bantuan ketika kita dalam keadaan yang susah dan sentiasa menghulurkan
bantuan dengan senang hati dan menghiburkan ketika kita senang. Jadi, untuk
mempunyai jiran yang baik, maka kita perlu menonjolkan diri kita sebagai jiran
yang baik kepada jiran kita. Sekiranya kita berbaik-baik dengan jiran, maka
jiran juga akan berbaik-baik dengan kita. Jiran Sepakat Membawa Berkat perlu
terus diamalkan dalam kehidupan kita sehari-hari. Jangan kita berasa susah
dalam usaha mengamalkan budaya yang terpuji ini. Amalkan dengan hati yang
tulus, barulah kita memperoleh keberkatan dalam kehidupan. Oleh itu, dengan
meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan kaum akan bertambah utuh.
Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan
semangat kejiranan sentiasa diamalkan supaya negara kita sentiasa aman,
harmoni, dan sentosa
0 Comments