Tanah
air kita merupakan salah sebuah negara yang kian pesat membangun di rantau
Asia. Pembangunan dari aspek ekonomi, politik dan sosial telah mula bercambah sejak
sebelum mencapai kemerdekaan lagi. Segala-galanya bermula daripada pengorbanan
para pejuang negara yang sanggup bermati-matian demi mencapai kemerdekaan untuk
nusa tercinta. Pengorbanan mereka mestilah dikenang dan dihargai oleh generasi
masa ini. Saban tahun, pihak kerajaan mengeluarkan sejumlah besar wang sebagai
persiapan menyambut hari kemerdekaan. Persoalannya, apakah kepentingan
menyambut hari kemerdekaan di negara kita?
Salah
satu kepentingan menyambut hari kemerdekaan di negara kita ialah kita
dapat mengenang jasa tokoh yang telah berkorban demi mencapai kemerdekaan untuk
tanah air. Antara tokoh yang begitu berjasa kepada negara ialah Tunku Abdul
Rahman, Rosli Dhobi, Rentap, Kanang dan sebagainya. Mereka rela berputih tulang
daripada berputih mata melihat tanah air tempat tumpah darah mereka dijajah
oleh kuasa asing sepertti British dan Jepun. Mereka juga sanggup menggadai
nyawa demi membayar harga sebuah kemerdekaan. Jelaslah di sini bahawa
kepentingan menyambut hari kemerdekaan di negara kita adalah untuk mengenang
jasa tokoh.
Selain
itu, menyambut hari kemerdekaan adalah penting agar kita dapat mengukuhkan jati
diri rakyat Malaysia. Sejak akhir-akhir ini, generasi muda masa ini,
terutamanya remaja semakin hilang jati diri. Mereka lebih gemar
mengagung-agungkan budaya Barat yang amat bertentangan sekali dengan norma
masyarakat Timur. Lebih menyedihkan, ada antara kita yang sanggup memburukkan
nama Malaysia di mata dunia. Jika diimbas kembali sejarah yang lepas, rakyat Indonesia
telah memburukkan nama Malaysia di negara Asia dan negara Dunia Ketiga lantaran
tidak berpuas hati apabila Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Malaysia
pada tahun 1965. Kini, rakyat negara kita pula mencemarkan nama negara di
persada dunia. Ke manakah hilangnya jati diri sebagai rakyat Malaysia? Tepuk
dada tanya selera. Sudah terang lagi bersuluh, bahawa menyambut hari
kemerdekaan merupakan salah satu medium untuk mengukuhkan jati diri.
Seterusnya
melalui sambutan hari kemerdekaan, kita dapat mengekalkan perpaduan antara kaum
di negara kita. Umum mengetahui bahawa Melayu, Cina dan India merupakan kaum
majoriti di negara kita selain kaum Dusun, Kadazan, Bidayuh, Melanau yang
menjadi kaum minoriti. Negara yang harmoni dan sejahtera hanya akan dapat
dibentuk jika semua kaum ini dapat bersatu padu, bekerjasama dan bertoleransi.
Melalui sambutan hari kemerdekaan, semua kaum dapat berkumpul bagi meraikan
hari kemerdekaan negara yang kita cintai ini. Masyarakat berbilang kaum yang
saling menyayangi, saling menghormati dan saling bekerjasama merupakan
pemandangan paling indah untuk dipertontonkan kepada masyarakat di luar negara.
Jelaslah di sini bahawa sambutan hari kemerdekaan dapat mengekalkan perpaduan
antara kaum.
Di
samping itu, melalui sambutan hari kemerdekaan, imej negara kita akan turut
meningkat. Negara-negara asing akan mengenali Malaysia sebagai sebuah negara
yang aman, harmoni dan sejahtera, Secara tidak langsung, lebih ramai pelancong
asing ingin berkunjung ke negara kita serta lebih ramai pelabur asing ingin
melabur di negara kita. Hal ini dapat membantu meningkatkan sumber pendapatan
negara sekali gus menjana ekonomi negara.
Kesimpulannya,
sebagai rakyat Malaysia yang amat sayang akan negara, kit perlulah
bersungguh-sungguh meraikan hari kemerdekaan di negara. Jadikanlah perang
saudara, pergolakan, dan peperangan yang berlaku di sesetengah negara sebagai
pengajaran. Tokoh sejarah terkenal, George Santayana pernah berkata, “sesiapa
yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya semula,” Oleh itu, kita sebagai
rakyat Malaysia perlulah menghargai nikmat kemerdekaan yang kita kecapi ini.
0 Comments