Pada
era pascaperindustrian dan globalisasi yang serba mencabar akal dan minda,
Malaysia telah menjadi sebuah negara yang sedang membangun di mata dunia
selepas kemerdekaan yang disambut pada tanggal 31 Ogos 1957. Kini, Malaysia
duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara gergasi di pentas
antarabangsa. Bertitik tolak daripada itu, semangat cinta akan
negara perlu ada dalam diri setiap masyarakat bagi menghargai jasa tokoh-tokoh
pejuang kemerdekaan yang bertungkus lumus dalam mempertahankan negara yang
berdaulat ini. Oleh itu, keluarga perlu memainkan peranan yang sangat
signifikan dalam memupuk semangat cinta akan negara dalam diri anak-anak
mereka.
Pada
realiti, memang tidak dapat dinafikan bahawa ibu perlu mengambil inisiatif
utama dengan membawa anak-anak mereka ke tempat bersejarah seperti muzium. Di
Malaysia, terdapat sebuah muzium iaitu Muzium Negara yang mempunyai pelbagai
khazanah orang pada zaman dahulu, pakaian istana, keris-keris yang digunakan
oleh tokoh terdahulu untuk menentang penjajah luar. Anak-anak bukan sahaja
dapat mengenali tokoh-tokoh terdahulu malah menerapkan semangat keberanian
perwira-perwira negara yang mengamalkan peribahasa biar putih tulang, jangan
putih mata dalam mempertahankan negara suatu ketika dulu. Salah satu
tempat bersejarah yang tersohor ialah Melaka yang lebih dikenali sebagai Negeri
Bersejarah. Di Melaka, ibu bapa boleh menunjukkan tempat atau bangunan yang
dibina oleh negara luar yang pernah menjajah negara kita seperti bangunan
Stadhyus. Oleh itu, bolehlah kita akui bahawa semangat cinta akan negara
dapat disemai melalui lawatan ke tempat-tempat bersejarah yang banyak terdapat
di Malaysia.
Lanjutan
daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, langkah yang seterusnya ialah ibu
bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak. Berdasarkan peribahasa, Bapa
Borek, Anak Rintik, ibu bapa perlu menjadi ikon kepada anak-anak dalam
menerapkan semangat cinta akan negara. Dalam konteks ini, ibu bapa tidak
sewajarnya menunjukkan etika yang bertentangan dengan semangat patriotisme itu
sendiri. Kita boleh ambil contoh perlakuan yang pernah menjadi isu suatu ketika
dahulu iaitu seorang warga Malaysia yang mempersendakan lagu Negaraku malah ada
yang berani memijak bendera Jalur Gemilang. Ibu bapa perlu menunjukkan
semangat cinta akan negara melalui kibaran Jalur Gemilang dengan bangga
untuk diteladani oleh anak-anak. Secara tidak langsung, perbuatan ini akan
menjadi ikutan kerana mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Dengan
cara ini juga, anak-anak akan sedar betapa pentingnya semangat patriotisme ini.
Tambahan pula, ibu bapa boleh bercerita tentang perjuangan tokoh-tokoh tanah
air yang berjuang hingga titisan darah yang terakhir demi mempertahankan negara
yang tercinta daripada ancaman penjajah. Tegasnya, peribahasa melentur buluh
biarlah dari rebungnya perlu dijadikan azimat oleh ibu bapa untuk melentur
anak-anak mereka menjadi seorang yang mempunyai semangat patriotisme sejak
kecil lagi.
Selain
itu, pada masa ini ramai ibu bapa yang membimbing anak-anak mereka dalam
menguasai subjek Sejarah. Bagi segelintir pelajar, subjek Sejarah amat sukar
dikuasai kerana banyak fakta yang perlu dihafal dan diingati. Tambahan pula, mereka
tidak pernah merasai keperitan tokoh-tokoh terdahulu yang bermati-matian
memperjuangkan tanah air yang bertuah ini. Oleh itu, ibu bapa tidak boleh memberi
tekanan kepada anak-anak dengan memaksa dan memarahi mereka jika gagal dalam
subjek sejarah. Hal ini kerana, anak-anak umpama kain putih, ibu bapalah yang
perlu mencorakkannya dengan menerapkan semangat cinta akan negara. Bertitik
tolak daripada itu, ibu bapa perlu menyokong anak-anak mereka agar mereka tidak
berasa tertekan malah semangat bersemangat dalam mempelajari subjek
Sejarah. Selain itu, ibu bapa boleh menghantar anak-anak mereka menghadiri
kelas tuisyen untuk menguasai subjek Sejarah demi meningkatkan prestasi anak
dalam subjek tersebut. Rentetan itu, penguasaan dalam subjek ini akan
membibitkan rasa cinta terhadap subjek Sejarah seterusnya melahirkan kecintaan
terhadap negara.
Sebagai
menggulung segala yang telah diperkataan di atas, ibu bapa perlu memainkan
peranan dalam memupuk masyarakat yang mempunyai semangat cinta akan tanah air.
Pepohon pokok tidak akan berliuk lentuk jikalau tiada angin yang meniupnya oleh
itu, ibu bapa bertanggungjawab memupuk semangat cinta akan negara dalam diri
anak-anak. Sebenarnya, anak-anak merupakan tonggak utama dalam menjayakan
visi kudsi Wawasan 2020 pada masa hadapan. Kita mengakui hakikat bahawa
uslub ini perlu dilakukan dan boleh dimulakan dengan langkah-langkah yang telah
disarankan di atas. Dengan berbuat demikian, anak-anak dapat memupuk malah
menguatkan semangat cinta akan tanah air dalam diri mereka. Nescaya, semangat
patriotisme yang telah sebati dalam diri anak-anak akan dapat melahirkan
generasi muda yang mantap jati diri.
2 Comments
Minta izin ambil
ReplyDeleteaku amik ehh masehh
ReplyDelete