Kekalahan skuad bola sepak kebangsaan dalam pertandingan
kelayakan Piala Dunia kepada pasukan Singapura serta tumbangnya jagoan
badminton negara Datuk Lee Chong Wei, dalam Kejohanan Badminton Dunia baru-baru
ini, seolah-olah mengesahkan bahawa mutu sukan Malaysia semakin merudum. Hal
ini belum lagi mengambil kira prestasi sukan-sukan teras yang lain seperti
hoki, olahraga, renang, dan sebagainya. Kemerosotan pencapaian atlet-atlet
negara ketika bertanding sama ada pada peringkat serantau mahupun antarabangsa
telah menimbulkan pelbagai tanggapan negatif dalam kalangan peminat sukan di
negara ini. Apakah atlet-atlet kita hanya gah ketika bertanding sesama sendiri
sehingga mewajarkan gelaran jaguh kampung, ataupun atlet kita kurang
bermotivasi apabila bersaing pada peringkat antarabangsa? Walau apa-apapun
pertikaiannya, ternyata pelbagai langkah konkrit dan menyeluruh perlu diambil
untuk meningkatkan mutu sukan negara, agar kita dapat duduk sama rendah dan
berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain dalam bidang sukan.
Dalam hal ini, perkara utama yang perlu diberi perhatian
ialah dengan merombak jawatankuasa induk yang menaungi sesebuah persatuan
sukan. Bukan lagi rahsia, kebanyakan persatuan sukan di Malaysia dipimpin
oleh elit politik. Lihat sahaja persatuan-persatuan seperti Persatuan Bolasepak
Malaysia (FAM), Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), dan Persatuan Badminton
Malaysia (BAM). Malangnya, para pemimpin yang dipilih secara sebulat suara
ini, sering menjadikan persatuan berkenaan sebagai medan untuk mencari pengaruh
dan meneruskan agenda politik mereka. Keghairahan memenuhi agenda peribadi,
menyebabkan program pembangunan sukan dan atlet telah dianaktirikan.
Kedangkalan pengetahuan tentang bidang sukan serta kegagalan memahami perubahan
yang berlaku, mewajarkan ketandusan pencapaian para atlet kita. Berkaitan hal
ini, mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah menyeru agar para
pemimpin politik melepaskan jawatan mereka dalam persatuan sukan agar program
pembangunan sukan hanya ditangani oleh individu yang berkelayakan. Justeru,
sewajarnya barisan kepimpinan sukan ini dirombak dan seterusnya memberikan
laluan kepada muka-muka baru yang mempunyai latar belakang bidang sukan serta
beriltizam tinggi untuk memajukan mutu sukan negara, persis kata pujangga, hanya
jauhari yang mengenal manikam.
Di samping itu, program-program pembangunan atlet juga
perlu diperbaiki dan diberi nafas baru dalam usaha melahirkan atlet yang
berdaya saing. Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan telah menyediakan
peruntukan yang cukup untuk menyokong program-program pembangunan sukan di
negara ini seperti penubuhan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan
Negara (ISN). Program pembangunan sukan ini meliputi aspek-aspek kritikal
seperti kewangan, kejurulatihan, pemakanan, psikologi, dan sebagainya.
Berhubung dengan isu ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Sabri Chik pernah
menegur tentang cara pemakanan para pemain bola sepak kebangsaan ketika
bertanding dalam Kejohanan Piala Asia yang dianggap tidak bersesuaian dengan
diet para atlet. Menurutnya kebanyakan para pemain bola sepak negara lebih
menggemari roti canai, nasi lemak, dan merokok. Kegagalan menyediakan
program-program berkualiti, memungkinkan mutu sukan negara terus merudum dan
kita terus ketandusan para atlet yang berpotensi. Contohnya sejak menjuarai
Piala Thomas pada 1992, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hanya bergantung
kepada gandingan emas, Koo Ken Kiat dan Tan Boon Heong, serta Datuk Lee
Chong Wei. Misi pencarian pelapis baru masih lagi gagal. Namun begitu,
segala kelemahan tidak harus menjadi noktah untuk kita terus berusaha. Dengan
penggemblengan usaha dan iltizam semua pihak, pastinya sinar di hujung
terowong dapat dijelmakan untuk mengangkat kembali martabat sukan
negara kita.
Selain itu, para atlet negara juga perlu didedahkan
dengan kejohanan-kejohanan antarabangsa secara lebih kerap. Penyertaan
secara berterusan amat penting dalam usaha memantapkan persembahan serta
menyesuaikan diri dalam situasi pertandingan yang sebenarnya. Pasukan bola
sepak contohnya, tidak mampu membentuk persefahaman yang mantap jika
digabungkan menjelang saat akhir pada sesebuah kejohanan sahaja. Setiap pemain
sudah pasti mempunyai latar belakang kemahiran dan peribadi yang berbeza.
Justeru, penyertaan secara berterusan dalam pelbagai kejohanan dapat membentuk
persefahaman dalam kalangan mereka seterusnya mampu menuai hasil yang
diharapkan. Pencapaian jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei dan
ratu squasy negara, Datuk Nicole Ann David sehingga membolehkan mereka
berada pada kedudukan teratas senarai pemain terbaik dunia, adalah berpunca
daripada penyertaan yang aktif dalam pertandingan peringkat antarabangsa. Perlu
ditegaskan bahawa kejayaan yang diinginkan tidak boleh dijelmakan dengan usaha
secara ala kadar, ibarat melepaskan batuk di tangga. Sebaliknya,
menuntut iltizam dan kerja keras semua pihak sama ada dalam kalangan atlet,
pihak-pihak berwajib, dan malahan peminat sukan tanah air.
Di samping itu, Kementerian Pelajaran Malaysia juga
perlulah berperanan mencungkil bakat-bakat muda daripada peringkat sekolah
lagi. Kita sedia maklum bahawa para pelajar di seluruh negara begitu ramai
yang mempunyai bakat yang terpendam dalam bidang sukan. Buktinya semasa
kejohanan sukan di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan, kita
dapati ramai pelapis muda yang berbakat dan berpotensi. Namun bakat mereka
tenggelam begitu sahaja setelah tamat zaman persekolahan. Oleh hal yang
demikian pihak Kementerian Pelajaran Malaysia perlu berkerjasama dengan
Kementerian Belia dan Sukan serta badan-badan sukan untuk menggilap bakat-bakat
muda ini hingga mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Penubuhan
sekolah-sekolah sukan seperti Sekolah Sukan Sultan Abdul Jalil, Sekolah Sukan
Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Bandar Penawar dan merupakan satu alternatif bijak
agar kita tidak ketandusan pelapis dalam bidang sukan negara pada masa akan
datang.
Pengambilan jurulatih serta pemain import juga merupakan
suatu usaha yang positif ke arah meningkatkan mutu sukan negara. Hal ini demikian kerana para atlet
serta ahli sukan mendapat bimbingan serta tunjuk ajar berterusan daripada
jurulatih yang berwibawa. Para pemain dapat didedahkan dengan teknik, serta
kemahiran bertaraf dunia agar pemain kita dapat duduk sama rendah, berdiri
sama tinggi dengan pemain-pemain di peringkat dunia. Selain itu, para
pemain juga akan mendapat rakan pelatih atau sparing partner
yang bertaraf dunia. Dengan pendedahan serta latihan intensif ini sudah pasti
para atlet mampu bersaing atau bertanding di peringkat antarabangsa. Tindakan
FAM untuk mengambil pemain-pemain import semula dalam Liga Bola Sepak Malaysia
merupakan usaha serampang dua mata, iaitu untuk meningkatkan mutu
sukan negara serta menyemarakkan sokongan peminat sukan kepada pasukan pilihan
mereka. Jelaslah bahawa pengambilan jurulatih dan pemain import bukan sahaja
meningkatkan prestasi atlet atau ahli sukan, malahan dapat meningkatkan imej
negara di mata dunia.
Konklusinya, kemerosotan mutu sukan negara tidak seharusnya dibiarkan
berlanjutan kerana hal ini sedikit banyak berkaitan dengan maruah kita pada
peringkat antarabangsa. Sejajar dengan usia kemerdekaan negara yang sudah
menjangkau angka lima puluh empat tahun, seharusnya telah mematangkan prestasi
kita dalam bidang sukan. Tiada salahnya untuk kita belajar dengan negara-negara
seperti Trinidad dan Tobago atau pun Kenya yang telah berjaya melayakkan diri
dalam pertandingan akhir bola sepak Piala Dunia 2006 serta mampu melahirkan
atlet olahraga bertaraf dunia. Hanya dengan kerjasama erat semua pihak bagai
aur dengan tebing, misi untuk melihat kelibat anak-anak muda Malaysia
beraksi pada pusingan akhir bola sepak Piala Dunia 2014 akan menjadi kenyataan.
Peribahasa Melayu ada menyatakan pengayuh sudah ada di tangan, perahu sudah
ada di air, terserah kepada kita untuk merealisasikan impian 26 juta rakyat
Malaysia. Semoga slogan, Majulah Sukan Untuk Negara dapat
diimplementasikan.
0 Comments