Karangan SPM- Contoh Karangan Kepentingan Menjaga Kesihatan Dan Kebersihan Diri
Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita acapkali tersentak oleh pelbagai masalah kesihatan dan penyakit berjangkit yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat domestik dan antarabangsa. Polemik ini boleh dikurangkan dengan mengamalkan dua perkara asas iaitu menjaga kesihatan dan kebersihan diri. Amalan ini mungkin dipandang remeh oleh sesetengah orang tetapi ia merupakan kunci utama dalam memastikan kelansungan hidup seseorang pada ketika ini. Kita sering kali digalakkan untuk bersenam, bersukan, membasuh tangan dan bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar. Oleh itu, wajar untuk kita mengetahui apakah kepentingan mengamalkan aktiviti tersebut demi menjaga kesihatan dan kebersihan diri.
Salah
satu kepentingan memastikan kesihatan dan kebersihan diri berada pada tahap
yang tinggi kerana ia dapat meningkatkan produktiviti kehidupan seseorang.
Apabila kita dikurniakan kesihatan yang baik, kita mampu melakukan kerja-kerja
yang secara langsung dan tidak langsung membantu setiap makhluk dimuka bumi
ini. Pelajar sekolah dapat memberikan fokus pada pelajaran mereka dan pekerja
professional boleh menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam melaksanakan tugas
masing-masing. Setiap pekerjaan berfungsi dengan baik seperti mana kitaran
ekologi yang berlaku dengan semula jadi. Justeru, kesihatan dan kebersihan diri
yang baik dapat menjamin kemajuan dalam setiap perkara untuk dikecapi.
Di
samping itu, menghindari penyakit berjangkit dan masalah kesihatan juga
merupakan kepentingan dalam menjaga kesihatan dan kebersihan diri. Tamsilnya,
apabila seseorang itu aktif bersukan, kekuatan sistem kardiovaskular individu
tersebut akan bertambah kuat dan dapat menghindar daripada serangan
jantung. Selain itu, amalan membasuh tangan menggunakan sabun selama 20
saat juga adalah penting agar kita tidak membawa bakteria atau virus yang
mungkin dibawa oleh kita tanpa disedari. Amalan gotong-royong membersihkan
kawasan sekitar juga dapat membantu mencegah pembiakan nyamuk aedes dan sisa
lain yang mampu menjadi punca kepada penyakit-penyakit berjangkit. Kesannya,
masyarakat dapat hidup dengan sejahtera tanpa merisaukan maslah kesihatan atau
penyakit berjangkit.
Pada
waktu yang sama, amalan menjaga kesihatan dan kebersihan diri adalah penting
bagi memupuk sikap disiplin dalam setiap individu. Hal ini demikian kerana,
apabila individu tersebut ingin melaksanakan aktiviti seperti bersukan, mereka
perlu mematuhi peraturan dan etika dalam aktiviti tersebut. Sebagai contoh,
sukan olahraga dimana atlet perlu mengikuti jadual latihan dan konsisten untuk
menjaga kekuatan fizikal dan mental sebelum menyertai kejohanan tertentu.
Selain itu, dari sudut kebersihan, amalan memberus gigi di waktu pagi telah pun
menjadi rutin harian semua manusia. Secara tidak langsung, perkara di atas
telah membuatkan kita untuk lebih berdisiplin berbanding dahulu hasil daripada
usaha untuk menjaga kesihatan dan kebersihan diri.
Seterusnya,
penjagaan kesihatan dan kebersihan diri penting kerana ia dapat menonjolkan
imej dan perwatakan yang menarik seseorang individu. Jika anda perlu menemuduga
calon pekerja anda, apakah kriteria yang anda utamakan terlebih dahulu? Sudah
semestinya calon yang mempunyai perwatakan menarik beserta pakaian yang rapi
dan imej yang kemas. Mutakhir ini, pelbagai produk kesihatan yang boleh
membantu kita untuk mendapatkan imej yang menarik di samping baik untuk
kesihatan. Contohnya, penggunaan gel rambut dapat membantu golongan lelaki
merapikan rambut mereka dengan kemas agar ia kelihatan elok di mata setiap
orang yang memerhati. Natijahnya, apabila imej dan perwatakan yang menarik
hasill daripada penjagaan kesihatan dan kebersihan diri, ia akan memudahkan
kita untuk bergaul dengan orang ramai serta diterima oleh masyarakat.
Intihannya,
menjaga kesihatan dan kebersihan diri adalah penting seperti yang telah
dihuraikan di atas. Setiap pihak mempunyai peranan dalam memastikan kesihatan
dan kebersihan diri, keluarga dan masyarakat berada pada tahap yang baik. Hasil
usaha ini dapat menjadikan masyarakat kita sentiasa dihormati dan disanjung
tinggi. Oleh itu, amalan menjaga kesihatan dan kebersihan perlu disemai dan
dipupuk kepada setiap generasi agar ia menjadi budaya contoh manusia sejagat.
Sejajar dengan kata-kata hikmat,” Negara bersih, rakyat sihat; Badan sihat,
otak cergas”.
0 Comments